Sumber berkata, SPRM kini sedang mengesan mereka yang terlibat untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan SPRM mendapati penguat kuasa terlibat melindungi dan menerima wang sogokan daripada lebih 15 pemilik rumah urut haram dan melanggar syarat lesen di kawasan berkenaan sejak tiga hingga lima tahun lalu.

Ujarnya, setiap premis dipercayai membayar wang perlindungan berjumlah RM­3,000 hingga RM5,000 sebulan kepada satu agensi penguat kuasa dan jumlah tersebut akan dibahagikan kepada anggota daripada penguat kuasa terlibat mengikut ranking jawatan.

“Jumlah sama juga akan dibayar kepada agensi penguat kuasa lain dan setiap penguat kuasa mampu memperoleh wang perlindungan hampir RM100,000 sebulan hasil kutipan daripada semua rumah urut di kawasan terbabit.

“Terdapat orang awam yang menjadi perantara atau dipanggil ‘PR’ untuk mengutip wang sogokan dari pengendali rumah urut untuk penguat kuasa terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam operasi khas ‘Op Jejak dan Kota Raya’ yang dijalankan SPRM semalam, 14 orang termasuk tujuh penjawat awam ditahan kerana dipercayai terlibat menerima sogokan daripada pengusaha rumah urut di sekitar ibu negara.

Daripada tujuh penjawat awam yang ditahan terdapat tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat ketua polis balai.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta Ketua Polis Kuala Lumpur memulakan siasatan dalaman berhubung kes itu.

Bagaimanapun, jelasnya, siasatan kes dijalankan oleh SPRM.

“Arahan serta-merta telah dikeluarkan. Apa yang jelas, beberapa arahan khusus telah diberi kepada ketua polis ne­geri dan ketua polis daerah. Jika ada pegawai-pegawai atau anggota kita terlibat, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani memorandum persefahaman antara Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) serta Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Pada majlis itu, KPDRM diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Ayub Yaakob manakala PIKM diwakili Presidennya, Datuk Seri Mustapa.

Dalam pada itu, tujuh penjawat awam termasuk seorang ketua polis balai yang merupakan antara 14 suspek yang ditahan SPRM semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

Turut direman selama empat hari ialah tiga individu yang berperanan sebagai orang tengah atau ‘runner’ sementara empat pemilik pusat urut pula direman selama lima hari bermula hari ini bagi siasatan berhubung kes yang sama.