Suspek ditahan
EMPAT daripada lima suspek wanita yang ditahan kerana dipercayai menawarkan khidmat seks di sebuah rumah urut di Inanam semalam. - UTUSAN ONLINE

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua suspek ditahan dalam Op Noda yang dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada pukul 10.05 malam.

"Hasil serbuan telah menangkap dua wanita tempatan berumur 25 dan 68 tahun yang dipercayai penjaga premis manakala tiga lagi wanita China berumur 34 hingga 38 tahun dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran.

"Polis turut merampas satu botol minyak urut dan lesen perniagaan premis itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Habibi berkata, kesemua suspek ditahan Seksyen 373 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menguruskan rumah persundalan dan menawarkan perkhidmatan seks bagi tujuan pelacuran.

"Pihak polis merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat yang selama ini menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah ini," tambah beliau. - UTUSAN ONLINE