Kesemua suspek ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di ibu negara, Selangor, Perak dan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lima yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warga tempatan serta tiga lelaki masing-masing warga Mesir, Pakistan dan sebuah negara di Asia Barat.

“Lelaki warga Mesir berusia 50 tahun dan ditahan di Selangor pada 13 Oktober lalu.

“Suspek kedua pula berusia 31 tahun, berasal dari Asia Barat dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun pula ditahan pada 25 Oktober di Sitiawan, Perak.

Jelasnya, suspek wanita warga tempatan berusia 32 tahun pula ditahan pada 25 Oktober lalu di Gombak Selangor.

“Suspek kelima juga seorang warga tempatan berusia 40 tahun ditahan keesokan harinya di Kota Kinabalu, Sabah,” ujarnya.

Tambahnya, empat suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala seorang lagi suspek ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/1963. - UTUSAN ONLINE