Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika mangsa yang juga pemilik premis bersama dua pekerjanya berada di kedai.

“Mangsa yang ketakutan selepas diugut suspek menyerahkan wang berjumlah RM5,000, kunci kereta dan kunci pejabat.

“Dua lagi mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,300 dan seorang daripada mangsa ditetak dengan parang di tangan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Somu, hasil siasatan menyaksikan polis menahan seorang suspek pada Rabu lalu dalam satu serbuan di sebuah pusat snuker di Jalan Welfare, Kampung Baru, Sungai Buloh, dekat sini.

Jelasnya, tiga lagi suspek ditahan di Desa Aman, Sungai Buloh, dekat sini dan seorang lagi di Cahaya SPK Shah Alam, Selangor pada hari sama.

“Selain tangkapan, polis turut merampas 10 bilah parang yang dimiliki suspek di Desa Aman dan Kampung Baru, Sungai Buloh dekat sini berukuran antara 16 hingga 29 inci,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga mendatangkan kecederaan. - UTUSAN ONLINE