Selain 310 biji pil kuda dan 52 botol heroin yang ditemukan bersama wang tunai sebanyak RM3,300 yang dipercayai hasil daripada penjualan dadah, enam buah motosikal, sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda turut disita.

Serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Kampung Padang, Kemasik dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim dalam sidang akhbar di sini hari ini memberitahu, kelima-lima suspek itu berusia berusia 19 hingga 29 tahun, dan empat daripada mereka dikesan positif dadah.

“Kesemua suspek yang ditahan ini dipercayai bergiat aktif mengedar dadah  khususnya Kerteh, Kemasik, Kijal dan Cukai sejak dua tahun lalu.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE