Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintenden Rosdi Inai berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11 malam ketika anggota PGA sedang menjalankan rondaan menerusi Ops Awas di Pos Bunan Gega di sini.

Menurutnya, kesemua suspek turut menggunakan senjata tajam seperti parang dan besi, selain memiliki senapang untuk mengugut anggotanya.

“Kelima-lima suspek yang berpakaian biasa dan dipercayai bukan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) telah menghalang anggota PGA menggunakan paip jenis PVC di jalan utama simpang kampung itu.

“Mereka dikatakan kerap melakukan sekatan jalan, namun tindakan kumpulan itu tidak diketahui Ketua Kampung berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, semua suspek berusia 27 hingga 50 tahun kemudiannya ditahan selepas seorang anggota PGA menunjukkan kad kuasa polis.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kesemua suspek, menemukan tujuh butir peluru.

Katanya, kesemua senjata dan peluru itu yang dibawa telah dirampas dan kelima-lima suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE