Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 6 petang itu, pihak polis berjaya merampas 24 kilogram (kg) daun ketum yang dibalut dalam plastik lutsinar serta empat periuk besar berisi 12 kg daun ketum yang sedang direbus.

Kesemua bahan yang ditemukan itu dipercayai bagi menghasilkan 55 bungkus daun ketum untuk dijual di pasaran tempatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah rumah yang dijadikan pusat pemprosesan air ketum berkenaan.

“Seramai 30 anggota polis dari Balai Polis Kota Bharu dikerahkan ke tempat yang disyaki untuk menghasilkan air ketum dan kemudian dijual untuk pasaran tempatan.

“Kita dapati rumah ini baru disewa dalam tempoh sebulan dan kesemua suspek melakukan modus operandi dengan merebus daun ketum sebanyak sekali seminggu sehingga mampu meraih keuntungan sebanyak RM2,000,” katanya di sini, semalam.

Menurut Ismail, polis turut merampas pelbagai peralatan lain untuk memasak air ketum antaranya tong gas, dapur memasak serta saki baki botol ubat batuk.

“Salah seorang suspek juga dipercayai mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kesemua suspek berusia dalam lingkungan 21 hingga 27 tahun ditahan reman bagi siasatan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE