Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua daripada suspek tersebut ialah lelaki warga tempatan berusia 30-an, Tong Lip Seong dan Tung Seong Long yang alamat terakhir mereka di Port Dickson.

"Sebelum ini polis telah menahan lima suspek berusia 24 hingga 61 tahun di dua lokasi berasingan dalam tempoh kurang 12 jam selepas laporan dibuat pada pukul 8.10 pagi hari kejadian.

"Suspek yang ditahan ialah dua pengawal keselamatan yang bertugas mengawal stor berkenaan, dua anggota kastam dan seorang lelaki awam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan sekumpulan penjenayah merompak dan melarikan barangan rampasan dadah dipercayai bernilai RM30.4 juta yang disimpan di dalam kontena di premis JKDM pada Ahad lalu.

Suspek bertindak memecahkan kontena yang sebelum itu ditahan di Pelabuhan Barat, Klang dan dibawa ke premis berkenaan untuk siasatan lanjut.

Menurut Noor Azam, dalam kejadian pukul 3 pagi itu, sekumpulan lelaki bertopeng melarikan 60 kotak berisi inai dengan setiap satu seberat 7.2 kilogram dari dua kontena di premis berkenaan. 

Beliau berkata, pihak JKDM percaya ada antara kotak tersebut mengandungi dadah jenis ketamin dan heroin namun jumlahnya belum dapat dipastikan. - UTUSAN ONLINE