Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun itu diberkas hanya dalam tempoh lima jam selepas kejadian tersebut dilaporkan kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ne­geri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, remaja itu dan rakannya yang berusia 24 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Lapangan Permai di sini pada pukul 10 malam.

Menurut beliau, soal siasat yang dijalankan mendapati motif kejadian bunuh itu kerana perasaan tidak puas hati antara suspek dan mangsa.

“Suspek juga mengaku menggadaikan barang kemas milik mangsa di sebuah kedai pajak di Jalan Ampang Baru dengan nilai RM3,000.

“Susulan pengakuan itu, pi­hak polis menangkap seorang lelaki dan merampas semula barang kemas yang digadai iaitu seutas rantai leher, tiga loket emas, satu subang emas dan sekeping resit surat pajak,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahya, dalam serbuan di rumah tersebut, pihak­nya merampas beberapa barangan seperti seutas rantai, sebentuk cincin, beg silang, empat buah telefon bimbit, beg duit, topi keledar dan sebuah motosikal Modenas Dinamik.

Beliau menambah, pemeriksaan mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau bersabit kes curi motosikal.

“Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh tersebut dalam tempoh 24 jam dan kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga Isnin ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.45 petang itu, wanita berusia 32 tahun ditemukan terbaring dengan kesan jerutan di leher.