Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, dalam operasi pertama pada pukul 2.30 petang 6 September lalu, anggotanya menyerbu sebuah premis perniagaan dan menahan pemiliknya yang berusia 36 tahun serta berasal dari Semenanjung.

Katanya, dalam serbuan di premis perniagaan yang terletak bandar Keningau itu, pihak berkuasa menemukan sejumlah peluru tiruan, beberapa komponen senjata api dan sembilan laras senapang angin yang sedia untuk dijual.

“Hasil siasatan terhadap suspek pertama, polis berjaya mengesan empat lagi lelaki tempatan yang merupakan orang tengah, pembekal dan pelanggan dalam perniagaan itu.

“Berikutan itu, beberapa serbuan dilakukan bermula 9 September hingga semalam yang membawa kepada penahanan kesemua mereka yang berumur antara 29 hingga 40 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE