Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner V. R. Ravi Chandran berkata, suspek wanita ditahan bersama syabu seberat 3.066 kilogram dan etanol sebanyak tiga liter yang kesemuanya bernilai RM214,770 dalam serbuan di sebuah rumah Kampar pada 14 September lalu.

Beliau berkata, wanita tersebut yang merupakan penganggur mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan juga mendapati suspek merupakan orang sekatan di Kampar selepas keluar dari Pusat Pemulihan di Batu Gajah pada Januari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ravi Chandran, empat lagi suspek termasuk dua beradik ditahan bersama heroin seberat 218 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Pokok Assam, Taiping pada 13 September lalu.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM5,458 dan polis turut menyita dua buah motosikal dipercayai milik suspek. Siasatan terhadap kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 23 tahun mendapati seorang daripada mereka bekerja sebagai buruh manakala tiga lagi menganggur,” katanya.

Tambah Ravi Chandran, kelima-lima suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 20 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.