Azuan Miswadi Abdullah, 38, Khairul Anuar Parull, 33, Zulfikar Abd. Rahman, 32, Izzaitie Aqma Johari, 24, dan Norsuhaila Abd. Mutalib, 21, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam, pada 27 Disember 2017.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki 3,464 keping wang kertas AS$100 palsu bernilai RM1.4 ju­ta dan 136 keping wang palsu RM100 bernilai RM13,600 de-ngan niat menggunakannya sebagai tulen.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor­shazwani Ishak mengemuka­kan pertuduhan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit bersalah.

Khairul Anuar, Norsuhaila dan Zulfikar dibenarkan diikat jamin RM12,000 setiap seorang dengan dua penjamin. Bagaimanapun mereka gagal menjelaskan wang jaminan.

Azuan Miswadi dan Izzaitie Aqma pula tidak dibenarkan diikat jamin kerana masing-ma-sing masih menjalani hukuman penjara di Penjara Seremban dan Penjara Kajang di Selangor berkaitan kes dadah.

Kesemua tertuduh tidak di­wa­kili peguam dan Hakim G. Ramesh menetapkan pada 14 Disember ini untuk sebutan kes.

Utusan Malaysia pada 29 Di­sem­ber tahun lalu melaporkan, polis menemukan wang kertas palsu selepas menyerbu sebuah rumah dipercayai dijadikan pusat pengedaran dadah di Kampung Jijan Tengah.

Selain wang palsu, turut di­rampas dadah jenis syabu seberat 10.91 gram bernilai RM1,300.