Perintah tahanan reman sehingga 25 Januari itu diperoleh daripada Mahkamah Majistret Selayang bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan apa-apa benda letupan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya telah menahan suspek ketiga berusia lingkungan 20-an di sekitar Batu Caves kira-kira pukul 3 pagi tadi.

“Ketiga-tiga suspek telah direman bagi membantu siasatan. Kesemua mangsa yang sebelum ini dibawa ke hospital juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan kemeriahan sambutan Thaipusam bertukar kecoh apabila sebanyak 34 orang cedera akibat terkena letupan mercun yang dibakar oleh seorang pengunjung di Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves, dekat sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 8.40 malam di atas persimpangan bertingkat di depan kuil tersebut berlaku apabila mercun yang sepatutnya melayang ke udara meletup di atas jalan raya dan terkena orang ramai.

Sejurus kejadian, dua suspek berusia 23 dan 28 tahun ditahan kerana membakar mercun sempena sambutan Thaipusam tanpa kebenaran dan permit polis.-UTUSAN ONLINE