Itulah jumlah rasuah yang ditawarkan kepada enam pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) termasuk seorang Jabatan Perikanan yang dikesan menerima rasuah daripada orang tengah agar tiada tindakan diambil terhadap bot nelayan asing.

Bagaimanapun kegiatan mereka tidak berpanjangan apabila kesemua penjawat awam itu termasuk orang tengah iaitu seorang wanita warga Vietnam bergelar ‘Datuk’ yang dipercayai dalang utama mengagihkan wang rasuah ditahan dalam operasi bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Maritim Malaysia di Pahang, semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, dalam Ops Armada itu, kesemua suspek terbabit merupakan antara 22 individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Katanya, turut ditahan ialah sembilan rakyat tempatan yang bertindak sebagai orang tengah dan enam warga Vietnam lain termasuk seorang wanita.

“Sembilan suspek ini ditahan di Pahang, lima di Sabah, empat di Sarawak, tiga di Terengganu dan seorang di Labuan.

“Dalam operasi ini, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM1.9 juta iaitu wang rasuah selain membekukan 44 akaun bank bernilai RM2 juta,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki di sini hari ini.

Mengulas berhubung peranan wanita bergelar Datuk itu, Dzulkifli memberitahu, wanita itu dipercayai sebagai salah seorang perancang utama kepada salah satu daripada empat sindiket yang bergiat aktif di Laut China Selatan.

“Maklumat berhubung aktiviti pencerobohan haram itu telah dikumpul sejak 11 bulan lalu termasuk meninjau empat jeti di Vietnam yang terletak berhampiran perairan Malaysia.

“Hasil risikan itu mendapati sindiket tersebut menggunakan tiga modus operandi utama iaitu menceroboh secara terus, menaiki bot klon dengan menggunakan nombor pendaftaran dan bendera Malaysia serta menyalahgunakan permit nelayan tempatan,” ujar­nya.

Jelasnya, pemilik-pemilik bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia akan menggunakan orang tengah untuk berunding agar tidak diambil tindakan penguatkuasaan sekali gus membenarkan mereka beroperasi secara haram.

Tambahnya, kesalahan mereka itu dilindungi dengan perbuatan rasuah yang melibatkan orang tengah berkenaan termasuk pegawai Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Zulkifli memberi jaminan untuk membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan pegawai serta anggotanya hingga habis-habisan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana anggota atau pegawainya yang terlibat dalam aktiviti haram itu.

“Kita mendapati salah guna kuasa ini mempunyai hubung kait dengan sumber perikanan negara yang begitu besar sehingga menarik kehadiran nelayan asing terutamanya dari Vietnam.

“Selepas meneliti tindak tanduk mereka, kita percaya terdapat penglibatan bot nelayan tempatan dan anggota Maritim Malaysia sendiri dalam gejala salah guna kuasa dan rasuah ini,” katanya.