Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan pada pukul 2.52 petang oleh pasukan penyelam bomba empat meter dari tebing sungai dalam keadaan tertiarap dan berpakaian lengkap.

Si mati bersama seorang lagi suspek sebelum iti dikejar oleh sepasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Melaka Tengah kerana dalam keadaan mencurigakan di tandas awam Kampung Morten.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintenden Kamaluddin Kassim berkata, lelaki itu bertindak terjun ke dalam sungai berhampiran lampu isyarat Jambatan Hang Jebat sebelum ditemukan lemas oleh pasukan bomba dan penyelamat.

"Seorang lagi suspek yang berusia 42 tahun berjaya ditangkap dan mempunyai 14 rekod lampau membabitkan kesalahan dadah, " katanya ketika dihubungi.

Menurut Kamaluddin, identiti si mati belum dikenal pasti kerana polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada badannya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Penguasa Bomba Kanan II Arshad Mail berkata, pihaknya menerima panggilan dari pasukan polis pada pukul 2.01 petang dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

"Kerja mencari dan menyelamat lelaki terbabit melibatkan enam anggota pasukan penyelam sehingga ke dasar sungai sebelum mayatnya dijumpai pada pukul 2.52 petang," katanya. - UTUSAN ONLINE