Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mayat S. Valaytham, 73, ditemukan oleh anggota polis dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.

Difahamkan, suspek yang merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik dan sudah berkahwin berang dan menyerang bapanya selepas tidak mendapat sejumlah wang yang diminta.

Suspek juga dikatakan kerap pulang ke situ sebelum ini untuk meminta wang daripada bapanya.

Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, sebelum kejadian, polis menerima panggilan ekoran timbul kekecohan dengan kehadiran seorang lelaki mabuk di sebuah kedai runcit dan kedai makan di kawasan berkenaan pada pukul 8.30 malam.

“Anggota polis telah pergi ke lokasi dan menasihati lelaki berusia 45 tahun terbabit supaya tidak membuat kecoh dan memintanya pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, dua jam kemudian, kami sekali lagi menerima laporan mengenai bunyi bising dari sebuah rumah dan apabila anggota polis memeriksa rumah berkenaan, mereka menemukan mayat seorang lelaki warga emas berlumuran darah dengan kesan kelar sepanjang 18 sentimeter di leher,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Noorzainy berkata, susulan itu, polis sedang mengesan anak lelaki mangsa iaitu Mohamad Nazri Abdullah, 45, atau V. Santrapos juga dikenali sebagai Chandra Bos yang dikatakan bergelut dengan mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Naza Citra berwarna merah.

Beliau memaklumkan, lelaki terbabit yang beralamat di Taman Telok Merbau, Sungai Pelek di Selangor tiada rekod lampau berkaitan jenayah. Dia dicari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Pemeriksaan polis turut menemukan sebilah parang di lokasi kejadian. Difahamkan parang itu adalah milik mangsa dan memang berada di dalam rumah tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.