Tertuduh P. Karunes, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir.

Berdasarkan pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee, tertuduh didapati telah mengaibkan kehormatan dengan melakukan onani di hadapan mangsa yang berusia 31 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan hadapan pintu surau, tingkat 1, Skypark Terminal, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini pada pukul 6.45 pagi, 28 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda.

Mary Phoon kemudiannya menawarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh merayu kepada pihak mahkamah agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan terpaksa menyara kehidupannya dan ibunya.

Mohamad Ikhwan kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin selain sebutan semula kes berkenaan pada 2 April depan. - UTUSAN ONLINE