Dia kemudiannya berpura-pura berbual mesra dengan menjemput mangsa untuk menghadiri kenduri di rumahnya sebelum menyerang dan menyamun mangsa.

Dalam kejadian terbaharu pukul 11.15 pagi semalam, seorang wanita warga emas berusia 78 tahun di Pajak Song dekat sini patah paha kanan selepas diserang suspek terbabit serta melarikan rantai tangan milik mangsa.

Namun kegiatan jahat lelaki terbabit tidak berpanjangan apabila dia ditahan sepasukan polis dari ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang diketuai Asisten Superintenden Mohd. Yusuf Ibrahim di Nibong Tebal petang semalam.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya percaya suspek turut terlibat dengan empat kes jenayah sama di sekitar daerah itu, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Kulim menggunakan modus operandi sama.

“Kita berjaya memberkas suspek tidak sampai 24 jam selepas dia melakukan jenayah di Pajak Song pagi semalam selepas dia dikesan berdasarkan nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Axia yang dinaikinya.

“Polis turut merampas beberapa barangan peribadi milik suspek termasuk pakaian dan kopiah yang digunakan untuk menyamar sebelum melakukan samun itu selain sebatang pemutar skru yang dijadikan senjata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, suspek turut memiliki tujuh rekod jenayah lampau namun ujian air kencing ke atasnya mendapati dia negatif dadah.

Jelas Noorzainy, kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapatkan perintah tahanan reman. - UTUSAN ONLINE