Tertuduh berusia 41 tahun didakwa di Wad 3B di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di sini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain .

Tiga pertuduhan itu ialah di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Ahmad membuat permohonan untuk membantah jaminan terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan kerana tidak mempunyai alamat tetap.

Ahmad Zamzani membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan kes semula pada 23 Mei hadapan.

Awal April lalu, seorang lelaki bertindak menyerang anggota polis yang cuba menenangkannya dengan menggunakan pisau hanya kerana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tidak mengeluarkan wang.

Malah, suspek dipercayai dalam pengaruh dadah itu bertindak memecahkan mesin ATM tersebut gara-gara tidak berpuas hati menggunakan penukul besi.

Bagaimanapun, tindakan suspek berasal dari Sabah itu membawa padah apabila dia ditembak di bahagian perut oleh anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang cuba menyelamatkan diri akibat daripada serangan tersebut. - UTUSAN ONLINE