Lelaki berusia 22 tahun itu juga dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit di Jalan Permatang Berangan dekat Pokok Tampang di sini dengan bersenjatakan parang pada 13 September lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, lelaki yang juga positif dadah jenis methaphetamin itu ditahan dalam Op Cantas yang diketuai Asisten Superintenden Mohd. Yusof Ibrahim.

"Dalam kejadian Khamis lalu, suspek yang memiliki dua rekod jenayah lampau masuk ke sebuah kedai runcit dan membeli sebatang rokok sebelum mengacu sebilah parang kepada peniaga terbabit dan melarikan telefon bimbit milik mangsa.

"Suspek kini ditahan dan polis akan mendapatkan perintah reman esok untuk siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana terlibat kes samun bersenjata dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam badan," katanya.

Tambah Noorzainy, pihaknya juga masih menyiasat sama ada suspek juga terlibat dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak, di sini Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE