Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental itu turut menarik kabel mesin serta kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati suspek sedang dalam perjalanan dari Tumpat menaiki kereta api ke Pahang sebelum berhenti di Kuala Krai untuk menukar laluan.

Katanya, suspek tidak dapat meneruskan perjalanan kerana tiada wang untuk membeli tiket.

"Suspek kemudian merayau di sekitar bandar ini dan meminta wang daripada orang ramai namun gagal.

"Dalam pukul 6.30 pagi, suspek ke mesin ATM di sebuah bank namun gagal membuat pengeluaran menyebabkan suspek naik berang sebelum dia memecahkan siling serta menarik kabel mesin dan CCTV," katanya, di sini hari ini.

Abdullah berkata, dalam kejadian itu, suspek juga bertindak membuang air besar di belakang sebuah mesin ATM berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui suspek di belakang sebuah mesin ATM berkenaan.

"Suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 448 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE