Ketua Polis daerah, Superintenden Ramli Kasa berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 2.30 petang tadi selepas usaha memburunya dijalankan oleh polis sejak 5 Disember lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, 4 Disember lalu, mangsa berusia 25 tahun baru menamatkan kerja di sebuah klinik swasta di Pasir Besar dekat Gemas dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Jelai, di sini.

“Mangsa yang menunggang motosikal telah diekori oleh suspek dengan motosikal lain. Lelaki itu dikatakan bertindak meraba paha kanan mangsa yang sudah berumahtangga sebelum melarikan diri.

“Mangsa yang mengenali suspek kerana pernah mendapatkan rawatan di klinik tempatnya bekerja telah membuat laporan di Balai Polis Gemas pada 5 Disember lalu,” katanya.

Menurutnya, sebaik aduan diterima daripada mangsa, polis menjejak suspek di rumahnya namun dia telah melarikan diri.

“Lelaki itu akhirnya berjaya ditahan polis di rumahnya hari ini. Ketika soal siasat, suspek memberitahu dia melakukan perbuatan itu kerana sudah lama meminati mangsa,” katanya.

Ramli memberitahu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. - UTUSAN ONLINE