Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, suspek ditahan dalam rondaan Ops Cegah Jenayah (OCJ) oleh anggota Balai Polis Taman Universiti, Skudai kira-kira pukul 2 pagi.

“Polis menahan suspek semasa lelaki itu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan awal mendapati dia mempunyai 15 rekod jenayah lampau,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal juga mendapati, motosikal yang ditunggangnya dilaporkan hilang di Kulai.

Tambahnya, suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Menurut Mohd. Taib, antara rekod jenayah lampau suspek termasuk di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata berkumpulan, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Seksyen 12 (2) ADB 1952. - UTUSAN ONLINE