Peniaga berusia 47 tahun itu ditahan di tepi jalan Sungai Ara, Bayan Lepas di sini kira-kira pukul 2 petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, lelaki berkenaan mengaku terlibat dalam kejadian itu dan akan direman di Mahkamah Balik Pulau esok bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak memukul jurujual itu di bahagian belakang kepala kerana tidak dapat mengawal kemarahannya ketika kejadian.

“Ujian air kencing suspek juga negatif dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang jurujual wanita di sebuah pasar raya kecil di Bayan Lepas di sini dipukul di belakang kepala selepas mangsa enggan menjual lebih dua paket minyak masak satu kg kepada seorang lelaki.

Selain dipukul, mangsa yang berusia 29 tahun turut diugut dengan kata-kata 'lu jaga' menyebabkan dia membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya.

Kejadian itu yang dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan kemudiannya tular di media sosial. - UTUSAN ONLINE