Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, lelaki warga asing berusia 31 tahun itu diberkas kira-kira pukul 11 malam selepas menerima laporan daripada seorang wanita berusia 23 tahun berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sebelum kejadian, pada Isnin lalu mangsa dikatakan menempah Grab menggunakan aplikasi atas talian dari pusat bandar Johor Bahru menuju ke Larkin.

“Mangsa dipercayai tersilap menaiki kereta suspek yang kebetulan melalui tempat mengambil penumpang tanpa memeriksa sama ada Grab yang ditempah itu betul atau tidak.

“Mangsa mula curiga selepas suspek memandu kereta berlegar-legar kawasan bandar sebelum wanita itu menegur suspek dan suspek bertindak memberhentikan kereta di kawasan sunyi di Jalan Tun Abdul Razak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa mendakwa lelaki itu kemudiannya memasuki tempat duduk penumpang belakang sebelum mangsa meronta melepaskan diri keluar daripada kereta lalu terjatuh dan suspek bertindak menampar mangsa muka mangsa.

Menurutnya, mangsa turut mendakwa suspek membuka seluarnya dan lelaki Pakistan itu memasukkan kemaluan ke dalam kemaluan wanita terbabit sehingga keluar air mani.

“Mangsa juga dikatakan tidak pasti sama ada suspek berbuat demikian atau tidak kerana ketika kejadian wanita itu mendakwa dirinya dalam keadaan separuh sedar,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis sebelum suspek berjaya diberkas di tepi Jalan Tun Abdul Razak di sini. - UTUSAN ONLINE