Mangsa yang berusia 49 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki walaupun dia dikatakan terseret sejauh kira-kira 500 meter ketika memaut leher peragut itu.

Rakaman kejadian itu dirakamkan oleh pengguna kenderaan yang berada di lokasi kejadian dan video tersebut tular dalam laman sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, mangsa dikatakan sedang minum air kelapa bersama anaknya di sebuah gerai di taman berkenaan sebelum rantai lehernya direntap dari belakang.

"Mangsa kemudian ternampak seorang lelaki dipercayai suspek berlari menuju ke arah sebuah motosikal dan dia bertindak mengejarnya.

"Mangsa kemudian bertindak memaut leher lelaki berkenaan dengan tangan kanannya dan diseret sejauh 500 meter sehingga dia terjatuh di bahu jalan berhampiran perhentian bas di Pangsapuri Bertam Malim," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Afzanizar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan empat suspek yang menunggang motosikal berbeza dan suspek berjaya meloloskan diri dengan bantuan dua rakannya.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE