Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Aling ditikam suspek semasa kedua-dua lelaki warga Myanmar itu berada dalam keadaan mabuk di premis tersebut.

Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku selepas mereka bergaduh kerana mangsa mengungkit cerita lampau suspek semasa di negara asal.

"Pihak polis menerima laporan orang awam mengenai pergaduhan itu pada pukul 2.30 pagi. Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan pergelutan dalam salah sebuah bilik di tingkat satu rumah kedai itu.

"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan hanya memakai seluar dalam di pintu utama dengan kesan tikaman di perut mangsa yang menyebabkan sebahagian ususnya terkeluar.

"Sebilah pisau berukuran 33.5 sentimeter dengan kesan darah turut dijumpai di dapur rumah kedai berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 4.30 pagi di sebuah premis di Kampung Kuala Lukut dan lima lagi lelaki Myanmar yang sedang menunggu bas di sebuah lokasi di Lukut dipercayai mahu melarikan diri.

Menurutnya, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek dan kelima-lima lelaki terbabit di rumah kedai berkenaan sejak beberapa bulan lalu dan bekerja sebagai pembantu sebuah restoran di Lukut.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati mangsa dan suspek serta empat lelaki yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk berada di negara ini, manakala seorang lagi merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Kesemua suspek ditahan reman mulai hari ini hingga 15 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - UTUSAN ONLINE