Pegawai Pe­nyi­asat Kanan dari Ibu pejabat Po­lis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Su­pe­rin­tenden Wan Azi­rul Nizam Che Wan Aziz bersetuju dengan cadangan peguam bela, Gooi Soon Seng berikutan beliau tidak pernah membuat sebarang semakan keluar masuk lelaki berkenaan ke negara ini.

Saksi pendakwaan kesembilan itu bagaimanapun menjawab ‘tidak tahu’ apabila dicadangkan Ji-u yang juga memasuki negara ini dari Phnom Penh, Kemboja pada 21 Januari lalu dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Turut terdapat dalam telefon bimbit tertuduh dari Indonesia itu ialah imej Ji-u di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lum­pur (KLIA) serta satu klip video lelaki ber­kenaan.

Saksi tersebut berkata demikian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada perbicaraan hari ke-16 kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Kim Chol atau turut dikenali sebagai Kim Jong-nam.

Mereka berdua bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu. Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Wan Azirul Nizam memberitahu, lelaki Korea Utara, Ri Jong-chol yang pernah ditahan pihak polis sebelum ini pernah menerima wang sebanyak AS$38,000 (RM160,626), lima bulan sebelum Jong-nam diracun dengan agen saraf VX.

Berdasar keterangan Jong-chol, wang tersebut diterima daripada empat lelaki Korea Uta­ra pada Oktober 2016 bagi pembelian mi lembut untuk dihantar ke negara itu, kata saksi itu.

Pada perbicaraan sebelum ini, sebuah kereta Naza Ria telah dibeli oleh wakil Kedutaan Korea Utara menggunakan nama Jong-chol lima bulan sebelum kejadian tersebut.

Kenderaan tersebut kemudian digunakan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali untuk menghantar tiga suspek yang masih bebas ke KLIA2 dan ke KLIA selepas kejadian serangan ke atas Jong-nam bagi membolehkan suspek melarikan diri ke negara lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.