Dalam operasi selama tiga jam bermula pukul 10 malam itu, sebanyak 114 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, turut ditahan dalam operasi tersebut ialah tiga lelaki masing-masing atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, memiliki senjata berbahaya iaitu buku lima dan ketum.

Katanya, tujuh lelaki juga ditahan setelah didapati positif methamphetamine menerusi pemeriksaan saringan air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap 31 pengguna jalan raya.

"Daripada 114 saman yang dikeluarkan, 48 saman adalah di atas kesalahan pandu laju, tiada lesen memandu (10), tidak memakai tali pinggang keledar (5), tiada lampu brek ketiga (4), lampu silau (3) dan gagal menunjukkan lesen (3).

"Selain itu, bagi kesalahan tidak memakai topi keledar sebanyak dua saman, tiada cermin sisi (2) dan masing-masing satu saman bagi kesalahan tidak pasang lampu malam hari dan Lesen Kenderaan Motor (LKM)," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan terhadap tiga lelaki itu masing-masing dibuat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, operasi yang dijalankan di Kilometer 15 dan 13 Ipoh-Lumut serta Jalan Pusing Batu Gajah itu disertai 16 pegawai dan 53 anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, lapan pegawai dan 28 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan seorang pegawai dan tujuh anggota AADK.

"Objektif operasi bersepadu antara pihak polis dan agensi luar ini adalah bagi menjalankan penguatkuasaan trafik dan pencegahan jenayah termasuk lumba haram," katanya.-UTUSAN ONLINE