Eddy Noramin Ramli, 41, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Eddy Noramin didakwa dengan niat mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun menggunakan bahan panas iaitu air panas hingga badan mangsa melecur.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas anak lelakinya berusia 10 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu antara pukul 1 hingga 2 pagi pada 28 Disember lalu di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan dengan pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.

Bagaimanapun, hukuman ke atas tertuduh hanya akan ditetapkan 12 Februari ini berikutan mahkamah belum menerima laporan perubatan kedua-dua mangsa.

Sementara itu, peguam tertuduh, Edmund Anthony Hermon memohon anak guamnya dibebaskan terlebih dahulu dengan jaminan yang rendah.

Menurut Edmund, ini kerana tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarganya termasuk seorang isteri yang tidak bekerja.

Selain itu, katanya, tertuduh juga perlu menanggung empat anaknya yang berusia antara lima hingga 10 tahun dengan pendapatan bulanan hanya RM500.

Dalam pada itu, Rosnee membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati mangsa.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun melecur di beberapa bahagian badan dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya.

Mangsa dikatakan diperlakukan sedemikian selepas bapanya berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa selepas pulang dari bekerja.

Selepas lebih seminggu melarikan diri, bapa mangsa akhirnya ditahan polis Sabtu lalu di Paya Terubong di sini bersama-sama isteri dan anak bongsu mereka.

Bagaimanapun, isterinya yang berusia 38 tahun tidak didakwa dan dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN ONLINE