Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata, susulan kes itu suspek berusia 36 tahun telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau untuk membuat laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.15 petang.

Katanya, suspek merupakan seorang petani kemudian ditahan bersama selaras senapang patah yang digunakan semasa kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai tertembak rakannya kerana menyangka mangsa adalah seekor babi hutan memandangkan keadaan kawasan kejadian agak gelap.

“Kejadian itu berlaku semasa mereka telah berpecah dan masing-masing bergerak sendiri untuk memburu binatang sebelum suspek tertembak mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dennis berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat.

Tambahnya, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Senjata Api 1960 dan Seksyen 8(a) akta sama. - UTUSAN ONLINE