Kejadian semalam berlaku empat hari selepas seorang lelaki dipercayai penolong ketua kumpulan kongsi gelap Geng 24, M. Gunasekaran, 35, maut akibat cedera parah selepas ditetak oleh sekumpulan lelaki di depan sebuah kedai di Jalan Pandan 2 juga di Telok Panglima Garang.

Dalam kejadian semalam, mang­sa M. Janaky Raman, 26, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 1. 5 kilometer dari tempat dia ditembak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua kes kematian tersebut mempunyai kaitan.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menyiasat perkara itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan, motif kejadian adalah kerana masalah pergeseran kumpulan dan pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan, polis mene­mukan empat kelongsong peluru di tembak kejadian.

Susulan kejadian, polis menahan reman tiga orang suspek berumur antara 26 hingga 29 tahun sehingga 18 Februari ini bagi membantu siasatan.

Polis juga sedang mencari seorang suspek yang masih bebas iaitu M. Shanmugam atau dikenali sebagai Sun Boy, 31, yang beralamat terakhir di No. 14, Jalan Dendeng 62, Taman Sahabat, Telok Panglima Garang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Anuar Hamim di talian 013-2918584 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes kematian Gunasekaran pada Rabu lalu, polis menahan reman sehingga 21 Februari ini, tujuh warga tempatan dan seorang warga Nepal berumur antara 19 hingga 34 tahun bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, Mohd. Adnan menasihati orang ramai supaya tidak bimbang dengan tahap keselamatan di sekitar kawasan kejadian terutama di Telok Panglima Garang berikutan kedua-dua kejadian berkenaan.

“Polis beri jaminan akan menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan meminta orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin yang tersebar,” ujarnya.