Mangsa berumur 53 tahun dan berasal dari Kajang, Selangor itu ditemukan pekerja motel dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik di tingkat dua premis berkenaan pada pukul 9.40 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd. Hamid berkata, pemeriksaan awal didapati mangsa mempunyai kesan luka di dahi, rusuk kanan dan belakang dipercayai ditikam senjata tajam.

“Sebelum itu pekerja berkenaan terdengar pergaduhan di dalam bilik yang disewa mangsa dan cuba melihat apa yang berlaku tetapi terkejut mendapati mangsa terbaring berlumuran darah.

“Mangsa dipercayai digantung kerana pihak kita turut menemukan seutas wayar yang putus masih terbelit dilehernya beserta dengan sebahagian lagi wayar tergantung dalam bilik mandi di bilik sewaannya,” katanya.

Menurut Saifi, mangsa dikatakan mendaftar masuk ke motel berkenaan pada petang semalam ditemani dua lelaki dipercayai penduduk tempatan.

“Pekerja premis itu turut memaklumkan sebaik menghampiri bilik disewa mangsa, dua rakan yang menemani mangsa mendaftar masuk bergegas lari dan membiarkan pintu bilik terbuka.

“Pekerja itu cuba menyelamatkan mangsa yang masih hidup sebelum bertindak menghubungi pihak polis dan sebaik pihak kita sampai mangsa meninggal dunia,” katanya. 

Kata Saifi, siasatan awal beserta dengan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dan dua lelaki yang menemaninya di motel berkenaan.

“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang senjata yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini giat mengesan dua lelaki terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.