Dalam kejadian pukul 4.40 petang itu, lelaki berusia 40 tahun tersebut dipercayai mabuk lalu bertindak menumbuk, menampar dan menendang kedua-dua mereka berkali-kali selepas perbuatannya memandu dalam keadaan mabuk diadu anak mereka kepada mangsa.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati, anak lelaki pasangan itu yang berusia 10 tahun menghubungi ibunya yang berada di rumah.

“Sebaik sahaja tiba, suspek terus memarahi pengadu dan anak-anak kerana memaklumkan kepada pengadu bahawa dia mabuk dan turut membaling barang-barang di dalam rumah. 

“Pengadu iaitu isteri suspek berusia 30-an datang ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan diri dan anak-anak serta ibunya,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan laporan itu, Ahmad Nasir berkata, polis menahan suspek tidak lama kemudian di hadapan rumahnya bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan saringan air kencing juga mendapati suspek tidak mengambil bahan terlarang selain tidak mengaku terlibat dalam kejadian mencederakan ahli keluarganya itu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE