Dalam kejadian rompakan kira-kira pukul 4 petang itu, suspek yang bertopeng dan memakai pakaian berwarna gelap serta membawa beg dikatakan menghampiri sebuah kaunter di bank berkenaan sebelum mengeluarkan sepucuk pistol.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek kemudian mengarahkan petugas kaunter memasukkan sejumlah wang ke dalam beg tersebut bagaimanapun pekerja tersebut enggan.

Ujarnya, suspek yang berang terus melepaskan tembakan ke arah siling sebelum pekerja tersebut yang ketakutan akhirnya memasukkan wang ke dalam beg tersebut.

“Suspek terus keluar dari bank sebelum melarikan diri menuju ke lorong belakang premis berkenaan.

“Sewaktu kejadian, terdapat empat pelanggan dan enam kakitangan di dalam bank tersebut, bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE