Dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu, suspek berusia 28 tahun melanggar pintu balai polis berkenaan menggunakan kereta jenis Proton Iswara.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku semasa anggota polis sedang bertugas di kaunter aduan balai berkenaan.

Katanya, kereta yang dipandu suspek secara mengundur melanggar pintu cermin hadapan balai dan menyebabkan kedua-dua pintu pecah.

"Suspek sekali lagi cuba untuk merempuh pintu balai polis menyebabkan seorang anggota melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri dan menghalang perbuatan suspek sebelum suspek berjaya ditangkap," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek mengalami luka di bahagian kepala dan muka akibat rempuhan tersebut.

Katanya, kereta yang dinaiki suspek pecah cermin dan terdapat juga kesan tembakan pada belakang kenderaan tersebut dan suspek kini telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

"Suspek merupakan seorang penagih dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, kes disiasat dibawah seksyen 427 dan 186 kanun keseksaan kerana melakukan khianat dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. - UTUSAN ONLINE