Suspek berusia 68 tahun itu, dibebaskan kira-kira pukul 11 pagi ini selepas keterangannya diambil.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu.

“Lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan media memberitahu, pihaknya telah menerima 395 laporan polis dari seluruh negara ekoran status menghina nabi yang dimuat naik di akaun Facebook bernama Foo Sing Wai.

Mohamad Fuzi memberitahu, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap pemilik Facebook berkenaan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Selain itu, dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Pada 19 Februari lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun telah ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, Pahang bagi membantu siasatan susulan laporan polis di Batu Pahat, Johor berhubung kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah menerusi laman media sosial Facebook.

Berikutan penahanan itu,lelaki berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE