Dalam kejadian terbaharu semalam, lelaki itu melakukan perbuatan lucah sambil menunjukkan kemaluan kepada salah seorang wanita yang sedang menunggu anaknya.

Lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Mengabang Tengah yang bekerja sebagai pemungut
sampah dan besi buruk itu ditangkap kira-kira pukul 8.30 pagi semalam oleh pengawal sekolah dengan dibantu oleh kalangan bapa murid berdekatan pintu pagar belakang sekolah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis dan ditahan reman hari ini di bawah Seksyen 377 D Kanun Keseksaan.

"Sebelum itu, suspek itu dikatakan telah menghampiri sebuah kereta yang di dalamnya terdapat
seorang wanita yang menunggu anaknya.

"Mangsa kemudian mengadu ternampak lelaki itu menghampiri cermin keretanya sambil
menunjuk dan menggosok kemaluan.

"Perbuatan suspek telah disedari pengawal keselamatan sekolah itu sebelum bertindak
menangkapnya," ujar beliau kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Suffian berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu dikatakan telah beberapa kali melakukan
perbuatan itu dengan setakat ini polis telah menerima tiga laporan mengenainya sejak dua bulan
lalu sebelum diberkas semalam.

Beliau seterusnya percaya penangkapan lelaki terbabit telah berjaya merungkai beberapa kes
seumpama itu yang mencetuskan trauma kalangan pelajar dan guru sekolah berkenaan sebelum
ini. - UTUSAN ONLINE