Mangsa, Nordin Asid, 43, diserang seorang lelaki warga Indonesia menggunakan sebilah pisau selepas berlaku perselisihan faham kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek dikatakan tidak berpuas hati apabila bola takraw yang digunakan mangsa sering melantun ke kawasan rumahnya.

Menurutnya, kejadian bola takraw memasuki halaman rumahnya telah berlaku sejak beberapa bulan lalu.

“Namun pada semalam, suspek mengambil keputusan bersemuka dengan mangsa yang sedang bermain takraw di gelanggang yang sama. Berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga mangsa tiba-tiba rebah akibat ditikam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian paru-paru dan jantung dikejarkan ke Hospital Dutchess of Kent Sandakan sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara katanya, suspek berjaya ditangkap orang awam di kawasan sekitar sebelum menyerahkan diri kepada pihak polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. - UTUSAN ONLINE