Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12 tengah hari mengenai penemuan mayat tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat tersebut disyaki warga tempatan.

"Ketika ditemukan, mangsa berbaju putih, berseluar panjang serta bersarung tangan kontrak dengan kesan darah di bawah kepala dan badan.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan cedera pada bahagian kepala dan mangsa disyaki telah meninggal dunia lebih 24 jam," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa dan punca kejadian," katanya. - UTUSAN ONLINE