Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang berusia 20 tahun itu tidak bekerja dan melakukan kegiatan itu sendirian.

Menurutnya, pihak polis menerima beberapa laporan berkaitan kejadian samun hotel bajet termasuk yang terbaharu pada 22 Disember lalu membabitkan dua buah hotel di Jalan Raja Uda di sini yang dipercayai dilakukan suspek terbabit.

“Dalam kejadian pertama iaitu kira-kira 1.15 pagi, seorang lelaki bertopi telah masuk ke dalam hotel bajet itu dan meluru ke bahagian kaunter serta mencederakan pekerja dengan menikam tangan, bahu dan kepala mangsa serta merampas wang tunai RM60.

“Manga yang bertindak balas memukul suapek dengan sebatang besi sebelum lelaki itu melarikan diri melalui pintu hadapan hotel,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, kejadian kedua berlaku setengah jam kemudian apabila suspek mengugut mangsa di sebuah hotel bajet berhampiran dan mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai RM700 dan telefon bimbit miliknya.

Jelasnya, suspek yang memiliki empat rekod jenayah lampau ditahan selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Dia kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Januari depan dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan”,ujarnya. - UTUSAN ONLINE