Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang hasil maklumat awam, lelaki berkenaan ditahan dalam satu pergelutan ketika dipercayai sedang menunggu seseorang di kawasan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner V. R. Ravi Chandran berkata, sewaktu tangkapan suspek sedang menjinjing sebuah beg berisi 15 paket dadah berkenaan.

“Hasil semakan mendapati suspek tersebut memiliki dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah termasuk kegiatan samun.

“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek yang berasal dari utara tanah air ini adalah negatif,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Honda Accord dengan anggaran nilai sebanyak RM30,000.

Dalam pada itu, Ravi Chandran berkata, jumlah dadah yang dirampas itu boleh diagihkan kepada kira-kira 10,928 orang untuk sehari dan pihaknya masih menyiasat ke mana ia dipasarkan.

Sehubungan itu katanya, suspek telah direman sehingga 25 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, sekiranya sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati mandatori. - UTUSAN ONLINE