Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama semasa penugasan Op Tapis pada pukul 6.35 petang.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintenden Loo Lian Lay berkata, suspek ditahan di dalam kereta jenis Honda Accord dan pemeriksaan fizikal dilakukan anggota polis ke atas lelaki itu.

Katanya, pemeriksaan itu bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa barang yang salah sebelum pemeriksaan dilakukan pula di dalam kereta dengan disaksikan oleh suspek.

"Dalam pemeriksaan itu, polis telah menjumpai satu bungkusan beg plastik berwarna Kuning dalam keadaan tidak berikat di tempat duduk hadapan sebelah penumpang.

"Setelah diperiksa, didapati bungkusan tersebut mengandungi dua ketulan mampat dengan setiap satunya berbalut plastik berisi dadah disyaki bahan asas heroin seberat 900 gram serta sebungkus plastik mengandungi heroin seberat 1,000 gram," katanya. - UTUSAN ONLINE