Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, individu berkenaan ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pukul 2.45 petang hari ini.

"Lelaki itu merupakan orang tengah dan penahanan ini merupakan yang pertama dilakukan sejak SPRM menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat perkara tersebut.

"Saya akan maklumkan (kepada media) kemudian jika ada sebarang tangkapan lain dilakukan pada masa akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas program Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar) 2017, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Sri Mat Ali Hassan.

Bulan lalu, Dzulkifli mengumumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat isu berkenaan yang meneliti aspek rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Rentetan kes Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar berkenaan, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup, menyebabkan ladang tebu terbabit dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd. (Gatco) pada 1977 dan Gatco menjadikan kawasan tersebut sebagai tanah rancangan dengan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 4 hektar dengan bayaran antara RM4,000 dan RM7,000 seorang. - UTUSAN ONLINE