Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Seremban, Siti Huzaifah Abdul Talib di Mahkamah Khas Reman di sini.

Lelaki berusia 31 tahun itu yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan kende­raan polis bersama tahanan lain.

Perintah tahanan tersebut membolehkan polis menyiasat lelaki terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Akhbar ini melaporkan seorang kontraktor, Norhaidi Mat Yusop (gambar), 40, maut selepas ditikam di bahagian belakang badan oleh adiknya setelah berlaku pertengkaran di depan sebuah rumah di Taman Bunga Sejati, Rantau pada pukul 7.30 pagi, semalam.

Mangsa yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Nyatoh dikatakan cuba menyelamatkan diri namun dipukul dengan sebatang penggali tanah oleh suspek di bahagian kepala sebelum dia rebah kira-kira 30 meter dari rumah tersebut.

Suspek berjaya ditahan oleh beberapa penduduk sebelum diserahkan kepada pihak polis. Mangsa yang dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.