Mohammad Azlin Sadari
MOHAMMAD AZLIN SADARI

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, lelaki berusia 24 tahun itu membuat laporan polis bahawa dia disamun ketika membawa wang tunai milik majikannya di persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana, dekat sini pada pukul 4.30 petang.

Menurutnya, lelaki yang bekerja di sebuah syarikat stesen minyak itu memaklumkan wang tersebut sepatutnya dimasukkan ke dalam bank.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis telah membuat siasatan terhadap lelaki tersebut namun terdapat keraguan dalam keterangan diberikan.

“Hasil siasatan mendapati suspek membuat laporan palsu dan kejadian samun itu tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Azlin memberitahu, pada pukul 8 malam hari yang sama, pihak polis menemukan wang tunai tersebut di Masjid Assalam Puchong Perdana selepas suspek menunjukkan lokasi wang itu disembunyikan.

“Wang tunai yang disimpan dalam beg itu dirampas dan suspek disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE