Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa dipukul oleh dua lelaki berusia 35 dan 20 tahun dengan menggunakan sebatang rotan dan penyangkut baju.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mangsa yang mengalami sakit anggota badan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban petang semalam.

"Berdasarkan aduan mangsa, dua suspek yang merupakan jirannya datang ke rumah mangsa dengan membawa sebatang rotan.

"Suspek terus marah dan pukul mangsa, manakala seorang lagi suspek memukulnya menggunakan penyangkut baju," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Hock Poh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas mangsa membuang sisa makanan nasi kucing dari rumahnya di tingkat satu ke bawah blok rumah dan terkena kereta jirannya.

Beliau berkata, pihak polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE