Bagaimanapun, dua lagi kakitangan One City yang ditahan reman pada 27 November lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya masih belum diketahui sama ada telah dibebaskan atau disambung reman.

Menurut sumber, setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Sehubungan itu, masih tidak dapat dipastikan sama ada kesemua mereka akan didakwa atau tidak," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 26 November lalu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh.

Turut cedera dalam kejadian tersebut ialah seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pagi tadi melaporkan, sehingga pukul 8 pagi, jumlah individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam insiden berkenaan adalah seramai 99 orang.

Penasihat undang-undang berkenaan antara tiga pekerja yang ditahan sehari selepas insiden terbabit.

Kedua-duanya ditahan reman selama lima hari dan kemudian disambung reman tiga hari lagi bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE