Uzair Abd. Kadir, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Noor Delaila Daud, 35, dengan memukul mangsa menggunakan sebuah bakul baju berwarna biru.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah pangsa Pantai Peringgit di sini kira-kira pukul 9 pagi pada 13 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh manakala Uzair yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan tarikh 7 Mei depan sebagai sebutan kes. - UTUSAN ONLINE