Motosikal milik seorang pemuda hangus dibakar dalam satu kejadian menceroboh di Taman Angsana Pokok Sena, Alor Setar, semalam. ihsan PDRM Kota Setar

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar. Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin, kejadian itu berlaku kira-kira 11 malam apabila pemuda ber­kenaan, memasuki salah sebuah rumah di situ menerusi pintu pagar yang tidak berkunci.

“Kedatangannya disedari pemilik rumah berusia 32 tahun yang menjerit ke arahnya sebelum mengejar dan menangkap pemuda tersebut.

“Berlaku pergelutan di antara mereka sebelum pemilik rumah berkenaan membakar motosikal jenis Yamaha LC 135 milik lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa pemuda berkenaan ketika ditemui mendakwa, tujuan anaknya ke rumah tersebut adalah untuk bertemu dengan seorang rakan wani­ta yang baru dikenali menerusi aplikasi WeChat.

“Dia keluar dari rumah di Kampung Seberang Pumpong kira-kira pukul 10 malam setelah rakan wanitanya itu dikatakan meminta bantuan yang saya sendiri tidak pasti pertolongan bagaimana dimaksudkannya.

“Saya difahamkan lelaki yang memukul anak saya itu merupakan abang kepada wanita tersebut. Dia turut mendakwa dipukul dengan rotan sepanjang kira-kira satu meter menyebabkannya ce­dera di telinga kanan selain meng­alami retak tulang belakang dan di tapak tangan,” katanya.

Pemuda itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan sementara kes tersebut disiasat di bawah Sek­syen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mencetuskan bencana dengan api.